Maghesun (kiri) menyerahkan cek kepada Bibi Fatimah di kediamannya di Bagan Serai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi    
Maghesun (kiri) menyerahkan cek kepada Bibi Fatimah di kediamannya di Bagan Serai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi    
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PADA saat kehidupannya dihimpit kesusahan, seorang wanita warga emas tidak menyangka menerima cek berjumlah RM23,697 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) hari ini susulan kematian anaknya 10 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Bibi Fatimah Fathil Shah, 68, dari Kampung Kalompang di Bagan Serai turut mengalirkan air mata kesyukuran sebaik menerima cek berkenaan termasuk khairat kematian anak keduanya Abd Razak Abu Bakar, 39, yang meninggal dunia pada 13 Disember 2008.

“Selepas kematian suami dan arwah anak, kehidupan saya susah hingga pernah meminta duit bantuan daripada Baitulmal untuk membeli makanan.

“Biarpun dapat bantuan bulanan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun kehidupan kami enam beranak iaitu anak bongsu dan empat cucu, hanya cukup-cukup makan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menerima cek disampaikan Pengurus PERKESO Taiping, K. Maghesun hari ini.

Menurutnya, dia tidak mengetahui arwah anaknya ada caruman PERKESO dan hanya mendapat tahu perkara itu melalui seorang anak saudara yang berkunjung ke rumah pada pertengahan Ogos lalu.

“Semakan dengan PERKESO Taiping mendapati arwah anak layak menerima pampasan itu namun saya tidak tahu jumlahnya sehinggalah hari ini.

“Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana gembiranya kami sekeluarga, ditambah pula dalam kesempitan hidup yang kami lalui,” katanya.

Bibi Fatimah berkata, arwah anak tidak berkahwin dan berkerja di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur sebelum terbabit kemalangan jalan raya.

“Biarpun arwah sudah tiada, namun dia masih berjasa dan dapat membantu keluarga melalui pencen bulanan seumur hidup berjumlah RM197 yang bakal diterima selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:02 PM