SYAKIR Daniel dan Afwa menunjukkan sijil yang diterima, semalam.
SYAKIR Daniel dan Afwa menunjukkan sijil yang diterima, semalam.
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Masalah pendengaran dialami seorang murid menyebabkan dia terpaksa mengambil masa lapan bulan untuk menghafal dan mengingati kisah nabi yang hanya berdurasi lapan minit untuk dipersembahkan.

Usaha Afwa Aidy, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indera Petra di sini akhirnya membuahkan hasil apabila muncul johan pertandingan bercerita kisah daripada al-Quran yang turut dipertandingkan sempena majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Negeri Kelantan.

Afwa yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir dan menjalani rawatan implan pada usia dua tahun menggunakan bahasa isyarat menyampaikan kisah yang bertajuk Bahtera Nabi Nuh dengan baik dengan bantuan prop yang disediakan pihak sekolah.

Guru pembimbingnya, Nor Aniza Hussin berkata, dia mula melatih Afwa sejak awal Januari lalu dan tugasan itu mencabar kerana latihan yang dijalankan sangat berbeza dengan murid normal.

“Sebelum Afwa menghafal kisah itu, saya terlebih dahulu perlu menghafalnya bagi memudahkan proses latihan.

“Kami menggunakan kamus bahasa isyarat bagi membantu Afwa memahami sesuatu perkataan, sekali gus memudahkannya untuk membuat bahasa isyarat, gaya dan mimik muda,” katanya, semalam.

Selain Afwa, seorang lagi murid pendidikan khas dari sekolah sama dan juga mengalami masalah pendengaran turut dilatih untuk pertandingan itu, Syakir Daniel Rameli, 13.

Menurut Nor Aniza, dia perlu kerap membuat latihan dengan dua muridnya itu kerana kekurangan yang dihadapi mereka menjadikan murid terbabit mudah lupa dan sukar mengingati apa yang dipelajari.

Sementara itu, ibu Afwa, Aida Ab Rahman, 49, berkata, selain di sekolah, anaknya juga mempraktikkan teknik penceritaan di rumah dan selalunya ia dilakukan di hadapan cermin di dalam bilik.

“Afwa tidak menunjukkan kepada kami sebaliknya mempraktikkan secara bersendirian di dalam biliknya dan saya hanya mengintai dari jauh,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:17 AM