DR Maszlee Malik
DR Maszlee Malik
Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Sebanyak 43 inisiatif berjaya dilaksanakan Kementerian Pendidikan sepanjang 100 hari pertama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sebahagian daripada 43 inisiatif itu antara perkara yang dijanjikan PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala selebihnya inisiatif di luar daripada buku manifesto itu sendiri.

“Ini bermakna Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan kerajaan ketika ini mengambil usaha, pendekatan holistik dan membina bagi membolehkan martabat sistem pendidikan terus dipertingkatkan demi masa depan anak kita.

“Satu daripada 43 inisiatif yang dilaksanakan itu termasuk menunaikan janji mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

“Ini dilakukan pada 8 Jun lalu iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran kerajaan baharu dan langkah itu membantu 429,945 peminjam.

“Dengan pelaksanaan itu, peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik tidak lagi mempunyai sebarang sekatan Jabatan Imigresen. Kami percaya mereka yang meminjam sedikit wang untuk membiayai pengajian tidak wajar dilayan seperti penjenayah atau mereka yang mencuri dana negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau sebelum ini pernah mengetengahkan beberapa janji sebagai Menteri Pendidikan yang mana ia adalah komitmennya untuk membawa penambahbaikan ke atas sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pada peringkat awal 100 hari pertama itu, fokusnya adalah kepada low-hanging fruits sebelum berpindah kepada isu lebih besar.

“Ini termasuk memberi kuasa autonomi kepada institusi pengajian tinggi, memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dengan mewujudkan semula Sudut Pidato, mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian dan memperkasa sekolah kebangsaan serta pendidikan khas.

“Selain itu, memastikan murid tidak lagi menggalas beg yang berat, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), membela dan terus mengiktiraf nasib sasterawan negara serta menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

“Kementerian Pendidikan juga memperkasa pendidikan tahfiz, selain memastikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat perhatian lebih baik melalui cara meletakkan pengawasan terus di bawah Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Maszlee berkata, projek membina sekolah baharu akan diteruskan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri iaitu empat di Johor dan masing-masing satu di Selangor dan Pulau Pinang selain perpindahan enam sekolah kurang murid akan diteruskan selepas mengenal pasti keperluan mendesak masing-masing.

Maszlee berkata, kementerian juga mengambil langkah memulakan kajian inklusif untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras Manifesto PH, termasuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan itu.

“Universiti Awam (UA) digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak berkepentingan. Saya dan Kementerian Pendidikan bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi menjayakan agenda dasar pendidikan negara.

“Usaha memartabatkan Bahasa Melayu akan terus dipergiatkan dengan meraikan kekuatan dan menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa dan beberapa pengumuman berkaitan akan dibuat dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:42 AM