Mohd Faizal Mohamad Fadzil, 36, meninggal dunia di lokasi. Foto ihsan PDRM.
Mohd Faizal Mohamad Fadzil, 36, meninggal dunia di lokasi. Foto ihsan PDRM.
Zulfa Mohamad


PEKERJA kilang meninggal dunia selepas motosikal Yamaha ditunggangnya bertembung dengan kereta di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, 9 pagi hari ini.

Ketika kejadian, Mohd Faizal Mohamad Fadzil, 36, dalam perjalanan ke tempat kerja di Butterworth.

Tiba di lokasi, kereta terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu kereta terbabit yang juga pekerja kilang berusia 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati kereta itu datang dari arah Sungai Dua menghala Pokok Machang.

“Kereta itu dipercayai cuba mengelak kenderaan yang memasuki laluannya menyebabkan dia mengelak ke kanan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu kereta selamat,” katanya.

Polis menahan pemandu kereta terbabit untuk siasatan lanjut selain mengambil sampel darah bagi ujian alkohol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 2:46 PM