Nur Saliawati Salberi


SEBUAH bangunan lama di Melaka disangka sekadar hotel terbiar, namun apabila diperiksa, ia dilengkapi mini pub dan 10 bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Kewujudan premis pelacuran di sebalik bangunan usang itu dikesan dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi.

Tapak premis yang terletak di Lorong Tun Mamat di Jalan Tun Ali itu terkenal sebagai hentian bas lama dan terbiar sejak 15 tahun lalu.

Difahamkan, sebelum ini penguat kuasa beberapa kali cuba masuk ke bangunan itu namun tidak berjaya, kerana pintu jeriji besinya dikunci.

Bagi mengelakkan kegiatan pelacuran dikesan pihak berkuasa, bangunan terbabit hanya mempunyai elektrik dari tingkat enam hingga tingkat ke-10.

Ketika serbuan, penjaga premis bertindak menghentikan operasi lif menyebabkan pasukan serbuan terpaksa menggunakan tangga.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Low Chee Leong yang mengetuai operasi bersepadu itu berkata, pemeriksaan pada mulanya hanya menemui enam wanita warga asing dipercayai pelacur dan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Iran iaitu pelanggan.

“Curiga dengan hanya enam wanita ditemui dalam premis itu, pemeriksaan rapi dilakukan dan penguat kuasa menemui beberapa bilik yang dijadikan tempat tinggal wanita dan dipercayai menempatkan kira-kira 30 penghuni.

“Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan lorong tikus sebelum menemui 14 lagi individu, lima daripada mereka menyorok dalam almari serta beberapa lagi di bawah sinki serta tangga,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kota Laksamana berkata, hasilnya 24 wanita masing-masing 15 warga Thailand dan sembilan warga Vietnam ditahan.

“Turut ditahan, enam lelaki termasuk penjaga premis dan tiga pelanggan.

“Mereka yang ditahan berusia 25 hingga 38 tahun kemudian dibawa balik ke pejabat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi bersepadu membabitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan MBMB, itu mengambil masa lima jam dan berakhir jam 4 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:30 PM
SEBAHAGIAN wanita ang ditahan. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
SEBAHAGIAN wanita ang ditahan. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA pelacur yang bersembunyi di dalam almari. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA pelacur yang bersembunyi di dalam almari. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber