MOHD Salleh
MOHD Salleh
Siti Sofia Md Nasir

Georgetown: Tidak ramai yang tahu, Tanjong Tokong antara perkampungan Melayu paling awal di Pulau Pinang. Malah, kerana namanya yang mempunyai perkataan ‘tokong’, ramai beranggapan ia didiami dan dimajukan masyarakat Cina.

Aktivis warisan Melayu Pulau Pinang Mohd Salleh Yahaya berkata, nama Tanjong Tokong merujuk kepada bentuk muka bumi kawasan itu yang mempunyai banyak longgokan batu besar di sepanjang pesisir pantai.

“Tanjong Tokong sebuah tanjung yang dipenuhi batu gondol dan terjemahan yang tepat bagi Tanjong Tokong adalah Cape of Rocky Islet dan bukan Cape of Temple.

“Mengikut rujukan, Tokong itu bermaksud batu gondol besar yang tidak mempunyai sebarang tumbuhan yang tumbuh di atasnya.

“Penamaan Tanjong Tokong ini juga bersifat 100 peratus Melayu dan tiada kena mengena dengan binaan berhala daripada mana-mana anutan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Syarahan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS)-Datuk Jenaton di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Salleh yang mengkaji sejarah Tanjong Tokong sejak 30 tahun lalu berkata, Tanjong Tokong mula didiami penduduk kira-kira tahun 1600-an.

Katanya, kebanyakan penduduk berasal dari Kedah yang terdiri daripada golongan nelayan tradisi.

“Ketika itu, Tanjong Tokong sebuah perkampungan nelayan yang didiami ramai penduduk Melayu dan dianggarkan ada lebih 10 kampung di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 10:46 AM