KIM Kee (kiri) bersama  Kim Jim (dua dari kiri) serta  Chu Tuoa (kanan) antara tujuh bersaudara menjadi guru ketika ditemui di Kampung Sakar Sungai.
KIM Kee (kiri) bersama Kim Jim (dua dari kiri) serta Chu Tuoa (kanan) antara tujuh bersaudara menjadi guru ketika ditemui di Kampung Sakar Sungai.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PASIR MAS: Tujuh bersaudara berbangsa Cina menjadi guru dan enam daripadanya mengajar subjek Bahasa Melayu kerana minat mendalam serta mahu mendidik anak bangsa.

Mereka terdiri daripada empat beradik, Owee Kim Jim, 56, Owee Chu Lian, 51, Owee Chu Hun, 48 dan Owee Kim Kee, 46, yang mengajar Bahasa Melayu masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga, SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Boon Rantau Panjang dan SJKC Chung Hwa, Kota Bharu.

Manakala, suami Chu Hun, Ching Chu Tuoa, 48, dan suami Chu Lian, Koo Po Ham, 53, dan anak Kim Jim, Tee Ling Hsia, 27, masing-masing mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderong Batu, Tumpat, SMK Chetok, Pasir Mas dan SJKC Gua Musang.

Kim Jim anak sulung daripada enam beradik yang tinggal di Kampung Sakar Sungai berkata, dia bersama tiga adik dan dua adik ipar bertugas menjadi guru Bahasa Melayu, manakala anak bongsunya daripada dua beradik mengajar Bahasa Inggeris.

Dia yang menjadi guru sejak 31 tahun yang lalu berkata, mengajar subjek Bahasa Melayu kerana mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kami fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu iaitu dialek Kelantan kerana sejak kecil belajar di Sekolah Kebangsaan Tendong, di sini.

“Adik-beradik saya juga hanya pandai bercakap dalam dialek Hokkien dan tidak pandai bertutur Bahasa Mandarin kerana faktor ramai kawan dalam kalangan orang Melayu.

“Disebabkan pergaulan dengan rakan Melayu sejak daripada kecil, maka kami adik-beradik memilih untuk menjadi guru Bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Lebih unik apabila keluarganya lebih gemar bertutur dalam dialek Hokkien yang dicampur Kelantan dan jika tidak melihat wajah pastinya orang ramai menyangka mereka adalah orang Melayu.

Manakala, Kim Kee berkata, dia juga mengajar Bahasa Melayu sejak 22 tahun lalu dan mudah untuk mengajar subjek itu kerana murid di kawsan kampung senang faham.

“Saya lebih mudah untuk mengajar Bahasa Melayu kerana ini adalah bahasa percakapan harian lebih-lebih lagi murid di kawasan kampung.

“Kita mudah untuk mengajar kerana ia senang faham, jadi tidak ada masalah bagi saya untuk menarik perhatian murid untuk meminati subjek ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:50 AM