MOHD Syamil didenda  RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana mengugut dan merosakkan kenderaan polis pada 18 Julai lalu di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Simpang Pulai. -Foto L MANIMARAN
MOHD Syamil didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana mengugut dan merosakkan kenderaan polis pada 18 Julai lalu di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Simpang Pulai. -Foto L MANIMARAN
Shaarani Ismail


MAHKAMAH Majistret Ipoh, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM4,500 kepada seorang lelaki atas kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang penjawat awam dan perbuatan khianat terhadap sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada 18 Julai lalu.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syamil Kamil Mohd Radzi, 28, selepas tertuduh mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Syamil Kamil didakwa menakutkan Mohd Shukur Zubir yang juga seorang anggota polis, dengan mengeluarkan perkataan ugutan ‘saya nak bunuh kalau saya jumpa polis sebab polis dah malukan dan menjatuhkan maruah saya’.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Syamil Kamil didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah lori jenis Nissan YU41H4 milik PDRM pada masa dan di lokasi sama hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM1,000 kepada PDRM.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 2.55 petang di Kilometer 287.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Simpang Pulai, dekat Ipoh.

Siti Hafiza kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 bagi tuduhan pertama atau dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didenda sebanyak RM2,500 bagi pertuduhan kedua atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Alif Afandi Zulkefli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 4:30 PM