Safeek Afandi Razali dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 109 pemain mesin judi dalam talian serta 42 penjaga premis ditahan dalam serbuan ke atas 15 premis di sekitar Serdang, malam tadi.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, dan Polis Daerah Serdang.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berdasarkan maklumat orang awam sejak seminggu lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati sebahagian premis yang diserbu tidak memiliki sebarang lesen dan beroperasi secara haram manakala sebahagian lagi berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Malah, ada antara premis ini didapati membuka bilik rahsia untuk aktiviti perjudian di dalam premis Pusat Sukan Snooker,” katanya selepas menyertai operasi berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga mengesan taktik sindiket perjudian yang kini mengupah lelaki warga Bangladesh dan wanita warga Indonesia sebagai penjaga premis berbanding rakyat tempatan.

“Ini adalah bagi membolehkan pekerja yang menjaga premis tidak mengenali siapakan pemilik atau ketua sindiket sesebuah premis judi atas talian dan mereka hanya mengenali penyelia mereka sahaja.

“Tindakan ini sedikit sebanyak melambatkan atau menjejaskan tindakan susulan polis dalam mengenalpasti dalang sebenar sindiket judi,” katanya.

Dalam operasi sama seramai 109 pemain ditahan termasuk 42 warga asing serta 42 penjaga termasuk 28 warga asing.

Turut dirampas dalam operasi sama adalah 276 komputer riba yang diaktifkan bagi tujuan judi atas talian serta 36 mesin simulator.

Selain itu, pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM12,936.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 10:01 AM
ROHAIMI (tengah) ketika menyerbu premis judi, malam tadi. FOTO/AZHAR
ROHAIMI (tengah) ketika menyerbu premis judi, malam tadi. FOTO/AZHAR