JAMALUDIN Abu Daud, 60, dari FELDA Jengka 12 yang akan berlepas menunaikan haji bersama isterinya pada 7 Ogos depan, maut selepas motosikal Honda Wave ditungganginya dilanggar treler tanpa muatan di Jalan Bandar Jengka, hari ini. FOTO Shahrul Nizam Mohamad
JAMALUDIN Abu Daud, 60, dari FELDA Jengka 12 yang akan berlepas menunaikan haji bersama isterinya pada 7 Ogos depan, maut selepas motosikal Honda Wave ditungganginya dilanggar treler tanpa muatan di Jalan Bandar Jengka, hari ini. FOTO Shahrul Nizam Mohamad
Shahrul Nizam Mohamad


HASRAT peneroka menunaikan haji bersama isterinya tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar treler tanpa muatan di Jalan Bandar Jengka, Maran, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Jamaluddin Abu Daud, 60, dari FELDA Melor Jengka 12 yang sepatutnya berlepas ke tanah suci pada 7 Ogos depan, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan hendak pulang ke rumah selepas mengeluarkan sejumlah wang di bank.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Amir, 33, berkata, ketika kejadian dia melihat mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave seorang diri dan keluar simpang tiga Jalan Bandar Jengka dengan membelok ke kanan.

"Pada masa sama, treler yang datang dari arah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka bagi proses bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, sampel darah dan air kencing pemandu treler diambil untuk ujian manakala kenderaannya pula dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut.

"Kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 1:38 PM