Keadaan Proton Saga dipandu Mohd Nor yang terbabit kemalangan dengan lori semalam. FOTO Ihsan Polis
Keadaan Proton Saga dipandu Mohd Nor yang terbabit kemalangan dengan lori semalam. FOTO Ihsan Polis
Shahrinnahar Latib


PENEROKA maut selepas Proton Saga dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 60, Jalan Temerloh-Jerantut di Jengka, Maran semalam.

Kejadian 5 petang itu mengakibatkan Mohd Nor Salim, 57, dari FELDA Lepar Hilir dekat Kuantan, maut di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Jerantut.

“Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan dikatakan terbabas sebelum merempuh kereta dipandu mangsa,” katanya hari ini.

Norzamri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.

Katanya, kemalangan turut mengakibatkan isteri mangsa, Aida Alias Umur, 51; dua anaknya, Nur Hafsah, 28, dan Nor Asiah, 22; serta cucu, Husna Rafiqah Syababullah, 2, parah.

“Seorang lagi cucu mangsa, Izzatul Insyirah Syababullah, 5, tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu lori berusia 22 tahun bersama kelindannya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 10:54 AM