FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

PERJALANAN pulang dua rakan selepas berhari raya secara berkonvoi berakhir tragedi apabila dilanggar selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri di jalan besar Felda Jengka 23, Maran, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu menyebabkan Hamdan Mat, 47, maut di tempat kejadian manakala Mohammad Shahrizan Ahmad, 37, disahkan meninggal dunia di Hospital Bandar Jengka.

Seorang lagi rakan mereka, Abu Bakar Ahmad, 26, yang turut menunggang motosikal sendiri bagi menyertai konvoi dari Felda Jengka 22 ke Felda Jengka 23 itu patah tangan kanan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Hamdan dan Mohammad Shahrizan bergesel di kawasan selekoh menyebabkan mereka terjatuh ke arah laluan bertentangan dan dilanggar sebuah Proton Waja.

“Pemandu Proton Waja itu mendakwa tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum keretanya juga terbabas dan melanggar Abu Bakar serta sebuah kereta jenis Honda Civic yang berada di belakang konvoi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri berkata, lelaki yang masing-masing memandu Proton Waja berusia 54 tahun dan Honda Civic berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak cedera.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Bandar Jengka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 11:14 AM