SUHAIZA terima pelantikan selepas 16 tahun berkhidmat dalam kerajaan. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
SUHAIZA terima pelantikan selepas 16 tahun berkhidmat dalam kerajaan. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BUAT kali pertama, kerajaan Negeri Sembilan melantik seorang wanita sebagai Pegawai Daerah Tampin berkuat kuasa 2 Julai lalu.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, Suhaiza Sharudin, 41, menerima pelantikan berkenaan selepas 16 tahun berkhidmat dalam kerajaan.

Katanya, lantikan itu membuktikan kerajaan negeri membuka peluang kepada golongan wanita untuk menjadi pemimpin dan pembuat dasar.

“Suhaiza adalah anak jati Negeri Sembilan dan jawatan terakhirnya adalah Timbalan Pegawai Kewangan di negeri ini.

“Beliau dipilih atas perkhidmatan cemerlang dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Seremban, hari ini.

Menurut Aminuddin, Suhaiza pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di Melaka dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain itu beliau juga bergelar Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Melaka pada 2014,” katanya.

Sementara itu, Suhaiza berkata, beliau tidak menyangka dilantik ke jawatan itu, dan menganggap ia sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan.

Anak jati Port Dickson itu berkata, beliau bertemu Aminuddin, baru-baru ini dan menerima perkhabaran mengenai pelantikan itu.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar atas kepercayaan yang beliau berikan.

“Saya merancang memberi fokus kepada peningkatan penyampaian perkhidmatan di Pejabat Daerah Tampin dan menambahbaik kesejahteraan hidup penduduk dari sudut ekonomi dan sosial serta akan menggunakan pengalaman yang dimiliki,” kata ibu kepada empat anak itu ketika dihubungi.

Suhaiza menyifatkan kerajaan Negeri Sembilan sentiasa membuka ruang dan peluang untuk golongan wanita memimpin serta menjadi pembuat dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 1:11 PM