KEADAAN dua daripada tiga kenderaan yang mengalami kerosakan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 446.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Buloh, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN dua daripada tiga kenderaan yang mengalami kerosakan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 446.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Buloh, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA pemandu terselamat selepas kenderaan dipandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 446.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Lebuhraya Guthrie di Sungai Buloh, kelmarin.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, ketiga-tiga kenderaan dipandu mangsa termasuk seorang wanita turut rosak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dipandu lelaki, 24, yang keluar dari Lebuhraya Guthrie hilang kawalan lalu berpusing dan masuk ke laluan Lebuhraya PLUS.

“Kereta itu kemudian melanggar Perodua Axia dipandu wanita berusia 31 tahun yang berada di lorong kedua dari sebelah kiri.

“Pada masa sama, pacuan empat roda Nissan Navara dipandu lelaki berusia 34 tahun yang berada di belakang Perodua Axia tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi yang juga kerani bank cedera ringan akibat terkena beg udara yang terbuka, manakala dua lagi pemandu tidak cedera.

“Ketiga-tiga kenderaan itu mengalami pelbagai kerosakan termasuk di bahagian bumper, but belakang, lampu dan tayar akibat kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 11:31 PM