Gambar daripada rakaman video kejadian lori hilang kawalan dan melanggar beberapa kenderaan di LPD dekat Serdang semalam. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video kejadian lori hilang kawalan dan melanggar beberapa kenderaan di LPD dekat Serdang semalam. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Pemandu lori ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kemalangan dengan lima kenderaan lain serta membabitkan kematian berhampiran sebuah hotel di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari itu, seorang penghantar makanan berusia 35 tahun yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika lori dipandu suspek berusia 47 tahun berkenaan bergerak agak laju sebelum hilang kawalan selepas keluar dari susur Lebuh Bukit Jalil-Puchong.

"Disebabkan keadaan itu, lori berkenaan melanggar sebuah van sebelum merempuh sebuah motosikal Yamaha Y125ZR dan Perodua Axia dalam masa sama mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan jatuh di lokasi kejadian.

"Lori berkenaan yang masih tidak dapat dikawal ketika itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi dan Toyota CHR sebelum terbabas di bawah jejantas dan terhenti di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pemandu lori berkenaan ditahan untuk menjalani ujian alkohol dan urin.

"Semakan mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 10:29 AM