ANTARA dadah yang dirampas dari lelaki yang ditahan di Sungai Tiang. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dari lelaki yang ditahan di Sungai Tiang. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Kegiatan licik seorang lelaki dipercayai tokan dadah dikenali sebagai 'Pak Din Kekiaq' yang aktif menghantar bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Sungai Tiang berakhir apabila dia ditahan polis, malam tadi.

Suspek berusia 30-an itu dikatakan biasanya menghantar bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan itu pada waktu lewat malam hingga awal pagi.

Bagaimanapun, suspek ditahan pada 8.30 malam di tepi jalan Felda Sungai Tiang, selepas anggota polis yang menerima maklumat awam terus pergi ke lokasi berkenaan.

'Pak Din Kekiaq' dikatakan sudah lama diburu polis, malah hasil maklumat daripada penagih pernah ditahan dalam beberapa operasi sebelum ini, mereka mengaku mengambil bekalan dadah daripada suspek berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan polis menemui lima paket plastik lutsinar mengandungi serbuk/ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 29.5 gram.

Beliau berkata, turut ditemui lima paket plastik lutsinar di dalamnya mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 4.7g.

"Berikutan itu, suspek ditahan dan dadah dirampas untuk siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:33 PM