JALAN Seremban - Simpang Pertang sesak teruk dengan kenderaan yang pulang berhari raya. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
JALAN Seremban - Simpang Pertang sesak teruk dengan kenderaan yang pulang berhari raya. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Jalan Seremban - Simpang Pertang yang menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke Pantai Timur sesak teruk sejak semalam.

Tinjauan mendapati laluan itu mula sesak pada Rabu namun ia berkurangan pada Khamis dan Jumaat dan kembali sesak pada hari raya pertama bermula jam 11 pagi hingga 9 malam.

Hari ini laluan itu kembali sesak apabila dipenuhi pelbagai jenis kenderaan dari arah Seremban.

Kesesakan itu bermula sejauh 22 kilometer dari Pantai, Seremban menuju ke Bukit Tangga sehingga ke pekan Kuala Klawang akibat kenderaan bergerak perlahan.

Hari ini, anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dan dibantu anggota Rela mula bertugas di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 32.5 berhampiran Balai Trafik Kuala Klawang bermula jam 9.30 pagi tadi

Dipercayai kesesakan itu luar biasa ini berlaku apabila pengguna jalan raya mengelak menggunakan Lebuh Raya Karak dan Jalan Kuala Pilah.

Jalan Seremban - Simpang Pertang satu - satunya laluan ke Pantai Timur melalui daerah Bentong.

Berdasarkan tinjauan pengguna jalan raya mengambil masa lebih 60 minit untuk sampai ke Kuala Klawang dari sempadan daerah Jelebu dan Seremban di Bukit Tangga dengan jarak 14 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 3:43 PM