ANGGOTA polis menyoal siasat warga Nepal yang ditahan.
ANGGOTA polis menyoal siasat warga Nepal yang ditahan.

Alor Gajah: Dua lelaki warga Nepal berpura-pura pengsan ketika ditahan polis selepas menyerang pengguna jalan raya menggunakan senjata tajam di kawasan perindustrian Kelemak, di sini, tengah malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, tiga lelaki berusia 25 hingga 27 tahun warga Nepal memegang senjata tajam dipercayai pisau dan pengunci stereng kereta berlari keluar dari satu lorong di kawasan perindustrian terbabit.

Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit meluru ke arah beberapa kenderaan di jalan menuju ke taman perumahan, malah suspek berdiri di garisan tengah jalan sambil menghayun pisau dan pengunci stereng ke arah pengguna jalan.

“Seorang daripada tiga lelaki terbabit menahan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berusia awal 20-an sebelum ketiga-tiga suspek melibas pisau dan pengunci stereng.

“Wanita terbabit terus membunyikan hon sehingga disedari beberapa pemandu kenderaan lain yang menghampiri untuk mengawal keadaan,” kata sumber.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek melibas senjata mereka sehingga hampir mengenai leher wanita itu yang tidak sempat menutup cermin tingkap keretanya.

Tanpa menghiraukan teguran orang ramai, ketiga-tiga suspek dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengacu senjata mereka sehingga dua anggota peronda (MPV) polis tiba di lokasi kejadian.

“Apabila polis dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah tiba, dua daripada tiga suspek tiba-tiba rebah dipercayai berpura-pura pengsan,” kata sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:31 AM