FOTO Ihsan PDRM
FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


SINDIKET perjudian di Alor Setar sanggup mencari pelbagai taktik termasuk berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga (PHK) bagi mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak menyerbu premis mereka.

Malah, lebih menyedihkan sebahagian yang ke premis itu untuk berjudi adalah mereka yang beragama Islam sehingga langsung tidak menghormati bulan Ramadan akibat ketagih judi.

Bagaimanapun, kegiatan empat pusat hiburan keluarga di sekitar daerah itu menjalankan kegiatan perjudian itu terbongkar selepas Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman dan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melancarkan Ops Dadu Darul Aman, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menjalankan serbuan itu selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan itu.

Menurutnya, dalam serbuan bermula jam 9.20 malam itu, empat premis diserbu di Shahab Perdana, Pekan Simpang Kuala, Kompleks Perniagaan Pelangi dan Seberang Jalan Putra.

“Susulan serbuan itu, kita menahan lima penjaga dan 17 operator membabitkan 22 tangkapan di mana lapan orang beragama Islam.

“Tangkapan pemain judi pula seramai 78 orang terdiri 77 lelaki dan seorang wanita di mana 49 orang itu adalah beragama Islam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPK Kedah, hari ini.

Mior Farid berkata, pihaknya turut merampas 63 mesin simulator PHK itu yang dimanipulasi menjadi mesin perjudian, 24 mesin slot, 20 keping cip dan wang tunai RM2,300.

“Premis ini adalah deretan rumah kedai dua tingkat di kawasan perniagaan dan perindustrian baru tiga bulan beroperasi.

“Tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6 (1) ARJT 1953,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil tindakan Seksyen 21 (a) Akta Rumah Judi Terbuka untuk membuat pemotongan bekalan elektrik di premis ini.

“Pihak polis ingin menasihatkan mana-mana pusat hiburan keluarga tidak menyalahi lesen dikeluarkan dengan memanipulasinya kepada sindiket perjudian.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berselindung di sebalik pusat hiburan itu untuk menjalankan kegiatan perjudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 5:04 PM