Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk bedah siasat. FOTO MELVIN JONI
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk bedah siasat. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kapit: Seorang pekerja lombong arang batu meninggal dunia selepas ditembak rakan sekerjanya ketika mereka berburu di Hutan Tengit, Sungai Tengit, Merit, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, dalam kejadian jam 12 malam, mangsa, Jembu Selukai, 36, meninggal dunia akibat kecederaan di perut dan paha.

"Terdapat kesan tembakan sebanyak dua butir peluru di paha kiri dan tiga butir di perut sebelah kiri mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Freddy berkata, mangsa bersama suspek dan dua lagi rakan sekerja keluar berburu pada jam 11 pagi semalam.

Katanya, apabila sampai di dalam hutan, mangsa dan suspek kemudian pergi memburu kerana suspek sahaja membawa senapang patah dan dua orang lagi rakan mereka menjala ikan di sebatang anak sungai di kawasan hutan berkenaan.

Menurutnya, apabila sampai di kawasan berbukit tempat mereka selalu berburu, suspek mendapati mangsa tidak lagi berada di belakangnya dan beranggapan bahawa mangsa berhenti di mana-mana untuk membuang air.

Beliau berkata, suspek berhenti seketika di lereng bukit sebelum terdengar ada pergerakan dalam semak di hadapannya pada jarak kira-kira 80 meter.

"Suspek tanpa berfikir panjang melepaskan satu das tembakan ke arah pergerakan itu yang disangkanya binatang.

"Suspek kemudian terus berlari ke arah dia melepaskan tembakan dan melihat mangsa terbaring dengan kecederaan di perut dan kaki serta tidak dapat bergerak," katanya.

Freddy berkata, suspek segera meninggalkan mangsa di tempat kejadian dan berlari ke anak sungai mencari dua lagi rakannya yang sedang menjala ikan dan memberitahu mereka mengenai kejadian itu.

"Mereka kemudian membawa mangsa keluar dari kawasan hutan ke kem tempat kerja mereka, namun mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke kem," katanya.

Menurutnya, suspek yang berusia 45 tahun kemudian menyerah diri di Balai Polis Kapit.

Katanya, hasil siasatan mendapati senapang digunakan suspek adalah jenis Bakakuk buatan sendiri dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:43 PM