WAN Mohd Hafizam (kanan) menceritakan pengalamannya menjalani pembedahan pemindahan hati kepada   Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman (kiri) sambil disaksikan anggota APM Negeri.
WAN Mohd Hafizam (kanan) menceritakan pengalamannya menjalani pembedahan pemindahan hati kepada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman (kiri) sambil disaksikan anggota APM Negeri.
HM Digital

Kuala Nerus: Kira-kira 20 tahun lalu, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail dianggap hero Malaysia atas keberaniannya mendermakan sebahagian hatinya kepada pesakit bengkak hati yang memerlukan.

Namun, bukan populariti atau pujian yang diharap Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) itu, sebaliknya reda Allah SWT atas pertolongan ikhlas yang dibuatnya kepada saudara seagama.

Wan Mohd Hafizam, 42, berkata, dia sangat bersyukur kerana pertolongan itu mendapat balasan sewajarnya dan Allah memudahkan urusannya dan melancarkan perjalanan rezeki hingga kini.

“Alhamdulillah pengorbanan itu tidak sia-sia. Saya percaya Allah menghadirkan sesuatu yang baik untuk apa yang kita korbankan atas keikhlasan kita,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Wan Mohd Hafizam hadir pada majlis anjuran Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, selain memperkenalkan Briged Ekuin APM yang baru dibentuk.

Beliau yang kini berkhidmat dalam APM memegang jawatan Pengarah Briged Ekuin APM berpusat di Kuala Lumpur.

“Jika 20 tahun lalu, ramai yang mempersoalkan nasib dan masa depan saya, malah menjangkakan saya bakal menghadapi pelbagai risiko disebabkan keputusan menderma hati yang dibuat.

“Tetapi nyatalah hingga hari ini Allah kurniakan kesihatan yang baik buat saya, tiada kemudaratan...Alhamdulillah, malah lebih istimewa saya merasakan semua urusan kehidupan saya dipermudahkan.

“Dengan tanggungjawab digalas ketika ini, saya juga jadi tenaga pengajar sukan berkuda,” katanya yang aktif sebagai jurulatih sukan berkuda dan menerima jemputan daripada merata tempat termasuk di Singapura.

Mengimbas kisah derma hati pada 1998, Wan Mohd Hafizam membuat keputusan itu atas dasar kemanusiaan dan mahu membantu Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini yang kini berusia 20 tahun pulih.

Dia menyifatkan keputusan itu yang terbaik pernah diambil sepanjang hidupnya dan berharap lebih ramai rakyat negara sedar kepentingan menderma organ.

“Diakui selepas kisah saya mendapat liputan meluas, ramai yang mula sedar kepentingan derma organ dan selepas saya terdapat lima lagi individu tampil mendermakan organ mereka kepada pesakit yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:42 AM