MARTHA dan Janius menunjukkan gambar anak lelaki mereka yang menjadi penyumbang organ pertama di Keningau. FOTO  Olivia Miwil
MARTHA dan Janius menunjukkan gambar anak lelaki mereka yang menjadi penyumbang organ pertama di Keningau. FOTO Olivia Miwil
Olivia Miwil


WALAUPUN sudah enam tahun meninggal dunia, seorang remaja yang menjadi penderma organ pertama di daerah Keningau dianggap masih ‘hidup’ kerana buah pinggangnya kini boleh dimanfaatkan individu lain.

Remaja itu, Chester Bionfie Jainus, 18, yang menghidap kanser darah ketika berada di Tingkatan Enam meninggal dunia pada 2012.

Ibu remaja itu, Martha Marsus, 50, berkata, sebelum meninggal dunia, anaknya memaklumkan niatnya untuk menjadi penderma organ ketika ke hospital untuk menghadiri temujanji pemeriksaan tahap kesihatannya.

“Anak kedua saya itu disahkan mengalami kekurangan sel darah merah (kanser darah) ketika masih bersekolah.

“Pada mulanya, saya tidak gembira dengan permintaannya untuk menjadi penderma organ kerana waktu itu dia juga sedang sakit,” katanya sambil menambah hanya bersetuju untuk memenuhi permintaan anaknya apabila menerima galakan daripada hospital untuk mendermakan kedua-dua buah pinggang anaknya.

Pengalaman itu dikongsikan Martha pada Karnival Kesedaran Menderma Organ peringkat negeri di Hospital Keningau, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Hospital Daerah Keningau, Dr Loly Mealonny Geoffrey; Pengurus Perolehan dan Pemindahan Wilayah, Dr Cheah Phee Kheng dan Penyelaras Program, Dr Tan Hai Siang.

Sementara itu, bapa remaja berkenaan, Janius Lian, 55, yang bekerja sebagai petani berkata, dia dimaklumkan ada dua penerima buah pinggang anaknya iaitu dari Kota Belud dan Semenanjung.

“Saya rasa seperti anak saya masih ‘hidup’ kerana sebahagian daripada organnya masih berfungsi. Saya dan isteri juga adalah penderma organ, namun tidak pernah terfikir anak kami akan menderma dulu sebelum kami,” katanya.

Dalam ucapannya, Christina berkata, Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu menerima empat penderma organ tahun ini dengan tiga mendermakan kornea dan seorang lagi adalah membabitkan pelbagai organ.

Katanya, penderma terbaharu iaitu mendiang veterinar warga Mexico, Dr Diana Ramirez daripada Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah mendermakan pelbagai organnya.

Sejak program menderma organ bermula pada 2000, Sabah menerima 19 derma, termasuk empat pada tahun ini dan mempunyai 21,000 daripada 426,000 penderma organ di seluruh negara.

Setakat 30 Oktober lalu, katanya, 20,956 individu berada dalam senarai menunggu derma buah pinggang, hati (lima), jantung (enam), paru-paru (tiga) dan tiga lagi untuk paru-paru dan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:15 PM