LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Seramai 71 penderma yang meninggal dunia mendermakan organ dan tisu badan mereka kepada golongan memerlukan berdasarkan statistik pendermaan organ sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah penderma itu, 30 adalah penderma organ manakala selebihnya penderma tisu.

“Jumlah ini yang tertinggi pernah dicatatkan dalam setahun sejak 1975.

“Ia menjadikan kadar pendermaan organ sebanyak 1.0 sumbangan persejuta penduduk (pmp) berbanding 0.6 pmp tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada status akaun Facebook beliau.

Beliau merujuk kisah pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis Mohd Nor Akmal Nordin, 26, yang meninggal dunia jam 6.30 pagi Khamis lalu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Allahyarham pernah berikrar menderma organ pada 2011 dan buah pinggang serta jantungnya diberikan kepada penderma di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, tahun ini menyaksikan 11 penderma terdiri daripada kaum Melayu mendaftar bagi pendermaan organ dan tisu.

“Angka yang meningkat itu mungkin disebabkan peningkatan kesedaran dan penerimaan orang awam mengenai pendermaan organ dan tisu.

“Selain itu, kesedaran lebih baik dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, pengenalan klinikal serta mekanisme rujukan kes yang berpotensi selain program lebih tersusun untuk kakitangan klinikal terutama di kawasan penjagaan kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 71 penderma itu mungkin tidak setanding dengan senarai menunggu yang tinggi di negara ini, namun peningkatan itu menjanjikan peluang cerah untuk mereka.

Sementara itu, menerusi statistik di laman web rasmi Jom Ikrar Derma Organ, sebanyak 500 penderma meninggal dunia memberikan organ dan tisu kepada mereka yang memerlukan bermula 1976 hingga tahun lalu.

Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak yang boleh mendermakan organ dan tisu manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:10 AM