SETIAUSAHA BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan adakan sidang media bagi menjernihkan soal politik di Perlis. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SETIAUSAHA BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan adakan sidang media bagi menjernihkan soal politik di Perlis. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Muhammad Mustakim Ramli


BARISAN Nasional (BN) Perlis akan memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berikutan salah faham membabitkan soal pelantikan Menteri Besar sebelum ini.

Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan faktor mereka menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

“Sidang media itu diadakan bertujuan untuk memohon ampun kepada Raja Perlis berhubung salah faham yang berlaku baru-baru ini.

“Ia akan dihadiri oleh semua sembilan wakil rakyat BN bagi menjelaskan mengapa mereka menolak pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, sidang media berkenaan akan diadakan di Hotel Putra Regency di Kangar pada pukul 10.30 pagi, Jumaat ini.

“Kita harapkan masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan,” katanya.

Kenyataan Zahidi itu sekali lagi menafikan dakwaan wakil rakyat BN membuat pusingan U untuk menyokong Azlan sebagai Menteri Besar Perlis.

Krisis Menteri Besar Perlis akan memasuki minggu ketiga Khamis ini, walaupun Azlan sudah dilantik sebagai Menteri Besar.

Ia susulan sembilan lagi wakil rakyat tidak hadir pada majlis istiadat dan angkat sumpah yang diadakan di Istana Arau, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:03 PM