Muhammad Mustakim Ramli

“Saya hairan kenapa beliau (Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin) kata belum selesai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann.

Beliau berkata, sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) Perlis sudah mengulangi pendirian menyokong Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar seperti yang diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Isu pelantikan Menteri Besar itu dianggap sudah selesai selepas semua wakil rakyat sudah menyatakan sokongan terhadap Azlan.

“Fokus sekarang adalah pada rakyat dan perkara-perkara seperti ini perlu dielakkan.

“Cukuplah, sekarang masa bekerja untuk rakyat yang sudah memberikan amanah dan tanggungjawab kepada kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Zahidi di dalam sebuah portal, pagi tadi.

Zahidi menerusi laporan portal Malaysiakini hari ini berkeras untuk membawa isu pelantikan Azlan ke mahkamah.

Alasan yang diberikan Zahidi adalah pelantikan ADUN Bintong itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri iaitu di bawah fasal 39 (6) yang menyatakan Menteri Besar harus meletakkan jawatan jika tidak mendapat sokongan.

Dalam masa sama, Zahidi juga menyifatkan isu itu masih belum selesai dan menganggap kenyataan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berhubung perkara itu sebelum ini hanya pandangan peribadi yang tidak mewakili semua wakil rakyat.

NSTP sebelum ini melaporkan krisis Menteri Besar selesai selepas Asmaiza memaklumkan semua ADUN BN membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:53 PM