Razif Rosli


BAPA Amirul Nashriq Othman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang lemas pada 24 Mac lalu, mendakwa ada unsur penderaan sebelum mangsa meninggal dunia.

Othman Yusoff, 51, berkata, sehubungan itu, keluarganya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya yang meninggal dunia pada usia 19 tahun itu.

Dakwanya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gopeng, 25 Mei lalu selepas melihat kecederaan dialami Allahyarham Amirul Nashriq termasuk kesan lebam yang terdapat pada badan mangsa dua hari sebelum kejadian.

“Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenaran saya sebagai waris, dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang.

“Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas. Sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja dekat Gopeng, hari ini.

Othman mendakwa, anaknya pernah memaklumkan mengalami kesan lebam akibat dipukul tiga pelajar senior sehingga sesak nafas.

“Anak saya sebelum ini menunjukkan gambar lebam di dada, dia kata kena pukul di bahagian ulu hati hingga senak bersama seorang lagi rakannya.

“Kami suruh beliau balik ke kampung namun apa yang peliknya dua hari kemudian, arwah bersama rakan lain ke kawasan air terjun dan meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Dalam kejadian itu, Amirul Nashriq dikatakan pergi ke Air Terjun Chamang bersama tujuh rakan daripada universiti sama.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan mangsa lemas ketika mandi bersama rakannya di air terjun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:00 PM