Peguam kepada Dr Mahathir, Mohd Irzan Iswatt Mohd Nor keluar dari Mahkamah Tinggi. FOTO Saddam Yusoff
Peguam kepada Dr Mahathir, Mohd Irzan Iswatt Mohd Nor keluar dari Mahkamah Tinggi. FOTO Saddam Yusoff
Ahmad Johari Mohd Ali


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Hakim Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar kes samannya untuk mencabar Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an.

Dr Mahathir memohon supaya Azizah menarik diri daripada mendengar kes saman pemula difailkannya pada Disember tahun lalu berikutan hakim itu sebelum ini pernah menolak permohonannya mencabar pelantikan dua ahli suruhanjaya siasatan terbabit.

Melalui prosiding di kamar hakim hari ini, Azizah menolak permohonan Dr Mahathir supaya beliau menarik diri dengan alasan Dr Mahathir gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawa terdapat bahaya sebenar beliau akan memberikan keputusan berat sebelah jika mendengar kes saman pemula berkenaan.

Azizah dalam penghakimannya, berkata ia adalah kerana permohonan yang pernah diputuskan beliau sebelum ini adalah membabitkan komposisi ahli dalam suruhanjaya siasatan, manakala kes saman pemula yang difailkan Dr Mahathir adalah bagi mencabar penemuan dalam laporan suruhanjaya itu.

Beliau berkata, saman pemula itu dikemukakan dengan alasan bahawa suruhanjaya siasatan gagal memasukkan dalam laporannya keseluruhan nota prosiding termasuk keterangan lisan saksi, permohonan sama ada secara bertulis atau lisan serta hujahan semua pihak yang terbabit.

"Mengenai isu yang dibangkitkan peguam bahawa mahkamah ini membuat keputusan yang tidak memihak kepada plaintif dalam kes sebelum ini, keputusan itu berdasarkan prinsip perundangan di negara ini dan plaintif juga mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

"Mahkamah ini mengambil kira akan bahaya gagal menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya jika ia dengan sewenang-wenangnya membenarkan permohonan supaya hakim menarik diri," katanya.

Hakim Azizah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Mohd Irzan Iswatt Mohd Nor mewakili Dr Mahathir, manakala Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak bagi pihak suruhanjaya siasatan dan Kerajaan Malaysia.

Dr Mahathir memfailkan saman pemula itu dengan menamakan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan ahli suruhanjaya iaitu Datuk Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K Pushpanathanan dan Datuk Dr Yusof Ismail.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Kabinet dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dr Mahathir selaku plaintif memohon perisytiharan bahawa mana-mana 'Laporan Suruhanjaya Siasatan' yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah jika mengandungi kesemua bahan yang ditampilkan pada keseluruhan prosiding termasuk kesemua pernyataan bertulis saksi.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa laporan suruhanjaya siasatan itu tidak sah atau tidak terpakai sama sekali kerana semua defendan gagal memasukkan keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan saksi sama ada transkripsi atau rakaman video dan semua hujahan pihak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:19 PM