NAJIB. FOTO Arkib NSTP
NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali

Putrajaya: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan kes samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah guna jawatan awam.

Azizah mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fongdi awal prosiding, mendedahkan bahawa suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang kini sudah bersara, pernah berkhidmat di bawah Thomas di Jabatan Peguam Negara.

Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan arahan lanjut daripada bekas perdana menteri itu berikutan pendedahan berkenaan.

Selepas mahkamah bersidang semula kira-kira 10 minit kemudian, Firoz Hussein kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guam ialah supaya Azizah menarik diri daripada panel berkenaan.

Azizah kemudian memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan terbabit.

"Saya bercadang menarik diri daripada mendengar kes ini kerana suami saya (berkhidmat) secara langsung di bawah responden (Thomas)

"Asas (kepada penarikan ini, adalah kerana kes ini membabitkan kepentingan awam, jadi adalah lebih baik kita mempunyai standard yang tinggi," katanya.

Sementara itu Thomas yang diwakili peguam Alan Gomez memberitahu mahkamah, pihaknya tiada bantahan bagi Azizah terus mendengar rayuan itu dan mahukan plaintif (Najib) menyatakan alasannya.

"Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Saya tidak nampak ada alasan bahawa akan berlaku bahaya berat sebelah," katanya.

Pada 25 November tahun lalu, Thomas berjaya dalam permohonannya membatalkan saman yang difailkan Najib berhubung dakwaan beliau (Thomas) menyalahgunakan kuasa untuk mengemukakan pendakwaan membabitkan skandal syarikat1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan Thomas, berkata saman Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah.

Dalam samannya yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib mendakwa, beliau dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kes pengubahan wang haram.

Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau dengan itu memohon perisytiharan bahawa Thomas melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:02 PM