KEADAAN kemalangan yang membabitkan motosikal dan treler. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kemalangan yang membabitkan motosikal dan treler. FOTO Ihsan Pembaca
Iskandar Shah Mohamed


DUA sahabat maut termasuk seorang daripadanya digilis treler selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Amirul Naim Zainuddin, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Manakala, rakannya yang juga penunggang motosikal, Muhammad Daniel Imran, 18, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati dua remaja menaiki motosikal Honda Dash 125 itu datang dari Pulau Indah menuju ke Pelabuhan Klang.

“Setibanya di lokasi kejadian, Muhammad Daniel yang menunggang motosikal itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan sebelum bergesel dan menyebabkan mereka terjatuh.

“Treler dipandu lelaki berusia 52 tahun kemudian gagal mengelak lalu menggilis Amirul Naim (pembonceng).

“Muhammad Daniel yang parah akibat terjatuh dikejarkan ke hospital, namun turut disahkan meninggal dunia,” katanya.

Kata Shamsul Amar, siasatan lanjut masih sedang dijalankan pihaknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:39 AM