ABDUL Hadi
ABDUL Hadi
Haika Khazi

Kuala Lumpur: Tiada minat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7. Itu kata-kata diluahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang seandainya Gagasan Sejahtera memperoleh majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Apa yang penting menurutnya, mereka perlu berusaha untuk meyakinkan rakyat supaya memilih gabungan PAS dan NGO yang membentuk Gagasan Sejahtera sebagai kerajaan baru pada PRU14.

Berikutan itu Abdul Hadi berkata, nama individu yang layak menjadi Perdana Menteri hanya diumumkan selepas Gagasan Sejahtera menang sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah pada PRU14.

“Ada orang tanya siapa akan jadi Perdana Menteri? Siapa Menteri Besar? Jadi saya jawab anak belum tahu betina jantan kita sibuk nak letak nama, tunggulah dia beranak (dilahirkan) dulu.

“Biarlah kita menang PRU14 dulu barulah kita bincang siapa bakal jadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri kerana biarlah orang lebih layak memimpin negara. Kita tidak mahu berebut jawatan Perdana Menteri kerana apa yang lebih penting pilihlah siapa bijak menguruskan negara dengan baik.

“Inilah perjuangan kita bukan orang itu atau ini menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting perjuangan PAS adalah membela kebijakan rakyat yang kini dihimpit pelbagai masalah dan tekanan hidup,” katanya ketika berucap di majlis minum petang calon PAS Parlimen Titiwangsa, Mohamad Noor Mohamad bersama pengundi di sebuah restoran semalam.

Sementara itu Abdul Hadi menyatakan Gagasan Sejahtera juga sedia bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka hanya menang sekurang-kurangnya 60 kerusi daripada 222 Parlimen di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:21 AM