(DARI KIRI) Calon dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun, A. Kumaravelu, calon dari DHPP, yang bertanding di DUN Batu Uban, Datuk Dr Vicknesvaran, Jamil Abdul Rahman dari PAS yang bertanding di DUN Machang Bubok, G. Asoghan dari Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang bertanding di DUN Perai, dan B Jay Kumar dari DHPP yang akan bertanding di Parlimen Batu Kawan bergambar selepas diumumkan sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke 14 pada majlis Pengisytiharan Calon DHPP dan Gagasan Sejahtera di Markas PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Muhammad Yusri Muzamir

PAS negeri malam ini, mengumumkan calon tambahan, membabitkan wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan parti komponen dalam Gagasan Sejahtera yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pesuruhjaya parti itu, Fauzi Mohd Yusof, berkata ia membabitkan dua kerusi Parlimen dan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kawasan ditandingi parti Islam itu adalah lapan Parlimen dan 24 DUN.

Sehubungan itu, katanya, Penolong Setiausaha PAS Pulau Pinang, Jamil Abdul Rahman dinamakan sebagai calon bagi kerusi DUN Machang Bubuk, manakala wakil DHPP Pulau Pinang, B Jay Kumar di Parlimen Batu Kawan.

“Dua wakil DHPP Pulau Pinang, iaitu Datuk Dr M Vigneswaran di DUN Batu Uban dan A Kumaravelu di DUN Batu Kawan. Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), G Asoghan (DUN Perai) dan wakil PAP, Tan Beng Huat (DUN Jawi).

“Wakil dari Gagasan Sejahtera pula, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan akan bertanding di Parlimen Bagan dan ahli PCM, R Manikandan di DUN Air Putih,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Calon DHPP dan Gagasan Sejahtera Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS Pongsu Seribu di Kepala Batas dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha DHPP merangkap Ketua DHPP Pulau Pinang, P Asokan; Timbalan Pesuruhjaya merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Ghazali Bukhori dan Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim.

Bercakap pada sidang media, Fauzi berkata, semua calon daripada DHPP Pulau Pinang dan Gagasan Sejahtera sudah membuat aku janji untuk melepaskan jawatan sedia ada sekiranya bertindak melompat parti jika menang pada PRU-14.

“Semua calon ini akan bertanding menggunakan logo PAS dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri yang akan memberi saingan sengit kepada calon daripada parti lain pada PRU-14 nanti.

“Ia antara lain menjelaskan bahawa PAS mampu membentuk kerajaan negeri sekiranya berjaya menang majoriti mudah (21 kerusi DUN Pulau Pinang) pada PRU-14 nanti,” katanya.

Mengulas isu berkaitan calon Ketua Menteri, Fauzi berkata, PAS Pulau Pinang dan parti komponen dalam Gagasan Sejahtera masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Calon Ketua Menteri ini hanya akan ditentukan selepas PAS menerima keputusan pada PRU-14 nanti dan ia selari dengan pendirian PAS Pusat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:45 AM