Shahrinnahar Latib


IMPIAN peniaga mahu mengubahsuai rumah dan kedainya dengan membuat pinjaman wang, lebur ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM8,000.

Dalam kejadian pada 22 April lalu, mangsa wanita berusia 25 tahun dari Batu 6, Jalan Gambang-Kuantan, Kuantan, menerima panggilan daripada lelaki dikenali sebagai Wong Yip Soon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berkenaan mendakwa sebagai ejen syarikat Marketing Solution Sdn Bhd yang menawarkan pinjaman peribadi.

"Mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM100,000 untuk tujuan mengubahsuai rumah dan kedainya di sini. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran sebagai wang proses permohonan pinjaman berkenaan.

"Selepas itu, mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM8,000 ke dalam tiga akaun berbeza yang diberikan oleh suspek. Bagaimanapun, sehingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang kerani lelaki berusia 22 tahun kerugian RM2,507 selepas diperdayakan sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, dalam kejadian pada 19 April lalu, mangsa melihat iklan pinjaman wang di Facebook dengan nama Ringgit Outcome Syarikat: Jupiter Juta.

"Mangsa kemudian berurusan dengan lelaki bernama Adi iaitu wakil syarikat berkenaan kerana ingin membuat pinjaman sebanyak RM5,000 bagi digunakan untuk urusan perkahwinannya.

"Selepas itu mangsa membuat tiga transaksi wang pembayaran proses permohonan berkenaan jumlah keseluruhan RM2,507," katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

"Polis juga sudah mengenalpasti suspek bagi kedua-dua kes berdasarkan akaun bank yang dipindahkan wang oleh kedua-dua mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 10:43 AM