GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kakitangan awam di Muadzam Shah, Rompin kerugian RM8,400 akibat ditipu penjenayah yang menyamar sebagai kenalan rakannya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kira-kira 2 petang semalam, wanita berusia 39 tahun itu menerima pesanan melalui Telegram daripada seorang individu yang mengaku kenalan kepada rakannya.

Menurutnya, individu terbabit meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan kerana akaun miliknya mengalami masalah.

"Mangsa kemudian membuat lima kali pindahan ke akaun yang diberikan berjumlah sehingga RM8,400.

"Selepas itu, mangsa diminta membuat pembayaran seterusnya tetapi dia enggan kerana merasa curiga sebelum cuba menghubungi rakannya tetapi panggilan tidak dijawab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa seterusnya menghubungi kakak rakannya itu untuk bertanya pindahan wang yang dilakukan sebelum ini.

Mohd Wazir berkata, kakak rakan mangsa mendakwa Telegram adiknya disalah gunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, semalam selepas menanggung kerugian sebanyak RM8,400," katanya.

Dalam kes lain, seorang kerani wanita di Jerantut kerugian RM4,610 apabila terpedaya dengan pinjaman tidak wujud di Facebook.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 34 tahun ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000 namun sebelum menerima wang pinjaman, dia perlu membayar bayaran perjanjian sebanyak RM4,610.

"Mangsa membuat empat transaksi sebelum sedar ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut semalam," katanya.

Katanya, dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 10:52 AM