Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seorang kontraktor berputih mata apabila rugi RM60,000 selepas menjadi mangsa tawaran pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Raub semalam selepas mensyaki ditipu selepas gagal menerima RM250,000 wang dipinjam sedangkan bayaran proses RM60,000 sudah dijelaskan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek terjebak dengan sindiket penipuan itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki (suspek) pada 27 Mac lalu.

Menurutnya, suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman peribadi sebuah syarikat yang beroperasi Kuala Lumpur dan menawarkan kemudahan pinjaman wang kepada mangsa sekiranya berminat.

"Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM250,000 dengan pelan pembayaran RM7,000 sebulan selama lima tahun.

"Mangsa diminta menyerahkan butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan penyata akaun bank untuk proses permohonan serta perlu membayar wang pendaftaran pinjaman berjumlah RM30,000," katanya melalui kenyataan hari ini

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran itu pada 18 Ogos lalu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki, pada hari yang sama suspek menghubungi mangsa memberitahu pinjaman itu diluluskan.

"Bagaimanapun mangsa diminta membayar RM30,000 lagi untuk proses pembayaran wang pinjaman ke akaun banknya

"Mangsa akur dan membuat bayaran seperti diminta ke akaun bank yang sama sebelum diminta menunggu sehingga wang RM250,000 yang dipinjam dimasukkan.

" Semalam mangsa sekali lagi dihubungi suspek meminta upah kerana membantu meluluskan pinjaman itu namun dia tidak berbuat demikian kerana wang yang dipinjam belum diterima.

"Mangsa juga mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 10:29 AM