FATEN Nursyuaida (kanan) sebak selepas mendapat tahu adiknya maut dalam kemalangan di Batu Berendam. FOTO Khairunisah Lokman
FATEN Nursyuaida (kanan) sebak selepas mendapat tahu adiknya maut dalam kemalangan di Batu Berendam. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


“Sebelum raya, arwah ada beritahu mahukan gelang tangan, tapi belum dibeli lagi kerana dia kumpul duit untuk teruskan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” kata Aminah Yacob, 48, ibu kepada Faten Nursyuhadah Rahman, 20, yang maut dalam kemalangan di Jalan Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Aminah berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat rapat dengannya dan kehilangan itu amat dirasai.

Menurutnya, dia mengetahui dua anaknya terbabit kemalangan melalui jiran yang menghubunginya menerusi telefon.

“Saya sedang bekerja sebelum menerima panggilan daripada jiran yang meminta saya bersabar kerana anak kemalangan dan mahu saya ke Hospital Melaka. Saya tak ke hospital lagi sebaliknya terus ke lokasi kemalangan kerana berasa tidak sedap hati.

“Kemudian pihak hospital menghubungi memberitahu seorang lagi anak saya sedang dirawat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Faten Nursyuhadah menunggang motosikal Honda Wave dibonceng kakaknya, Faten Nursyuaida, 24, dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Angkasanuri, Durian Tunggal, dari tempat kerja di kilang pembuatan elektronik di Batu Berendam.

Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya pula cedera di kepala dan badan serta mengalami trauma.

Menurut Aminah, anak sulungnya Faten Nursyuaida yang terselamat dalam kemalangan itu memberitahu, mereka dua beradik berteduh dan bersarapan dahulu di warung berdekatan kerana hujan lebat selepas tamat waktu kerja.

“Nursyuhadah baru enam bulan bekerja, sementara menunggu panggilan masuk ke UiTM. Dia anak yang sangat baik dan sentiasa nak bantu ayahnya yang hanya bekerja sendiri dengan menoreh getah,” kata Aminah.

Dalam pada itu, bapa mangsa Rahman Abdul Rasip, 53, berkata, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Angkasanuri, selepas solat Asar, hari ini.

Beberapa rakan mangsa turut menziarah di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Teman rapat Allahyarham, Puteri Nur Aqmar Mustafa, 20, berkata, Allahyarham sering mengingatkannya supaya setia bersahabat sehingga ke syurga dan kali terakhir mereka berbual menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, motosikal ditunggang mangsa terbabas mengakibatkan tiga lagi kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah motosikal terbabit kemalangan.

“Kejadian berlaku dalam keadaan jalan basah. Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa dari arah Melaka Baru menghala ke lampu isyarat Kilang Biskut, dan sebaik tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu Berendam, motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

Katanya, akibat terkejut, kenderaan lain membrek mengejut menyebabkan kereta Kia Spectra, Perodua Kancil dan motosikal Yamaha 135LC terbabit kemalangan, namun pemandu dan penunggangnya tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 7:24 PM