BAYAM Brazil tumbuh subur
BAYAM Brazil tumbuh subur
Intan Mas Ayu Shahimi

Sibuk bekerja, ruang terhad dan lelah selepas seharian menggalas tanggungjawab di pejabat bukan alasan untuk mengetepikan hobi bercucuk tanam.

Jika dulu, kerja menyemai benih, menanam sayur dan mencantas pokok bunga atau membaja tanaman lebih terarah kepada golongan berusia, namun kini ramai golongan muda yang turut memiliki kecenderungan serupa.

Siapa mampu menidakkan hebatnya terapi bercucuk tanam? Ketika fikiran lesu memikirkan timbunan kerja di pejabat, berkebun boleh membuatkan kita lupa seketika.

Leka bermain dengan tanah, pasu dan tanaman, ada waktunya boleh mendatangkan perasaan tenang, teruja dan puas. Lebih daripada itu, bercucuk tanam mampu membantu individu mencapai kualiti dalam menguruskan kerja di pejabat.

Bagi kerani akaun, Nordiana Mohd Zin, 32, kesempatan membelai pokok dan hasil tanaman sebelum pergi dan selepas pulang dari kerja setiap hari memberi keseronokan.

TANAM sawi menjimatkan perbelanjaan.
TANAM sawi menjimatkan perbelanjaan.

“Sejak tiga tahun lalu, saya suka menghabiskan masa terluang di kebun balkoni dan laman bawah blok (kawasan perumahan). Antara yang saya tanam adalah cili, pokok herba dan sayur-sayuran.

“Sudah menjadi rutin, setiap pagi saya akan menyiram pokok di balkoni, membelai pokok dan mengubah susun atur mengikut keperluan.

“Ini yang menjadi terapi diri . Leka dengan tumbuhan hijau, membuatkan kita tenang. Kadang-kadang, penat lelah pulang kerja hilang apabila dapat bercakap dengan pokok. Tambahan saya belum memiliki cahaya mata. Jadi, banyak masa dapat diluangkan untuk berkebun,” katanya yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Menurut Nordiana, berkebun bukan hobi mudah. Ada waktunya, tanaman cili menjadi sasaran perosak dan hasil pokok pula dimakan burung. Selebihnya adalah kekangan masa bekerja.

DAUN pudina ditanam di balkoni.
DAUN pudina ditanam di balkoni.

“Begitupun, saya berkebun sekadar mengisi masa lapang. Tumbuhan herba pula sengaja ditanam untuk kegunaan dapur. Berbeza dengan hobi lain, menanam membawa hasil yang mengujakan.

“Apabila tanaman yang dibelai selalu mengeluarkan buah dan daun, perasaannya memang sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Walaupun hasilnya sedikit, tapi kita akan lebih menghargai kerana itu ganjaran selepas penat lelah bercucuk tanam.

“Paling utama, saya banyak belajar untuk tidak mudah berputus asa. Jika usaha kita tidak membuahkan hasil, tidak mengapa jika berusaha lebih lagi untuk mencapai sasaran yang diingini,” katanya.

CILI berbuah lebat.
CILI berbuah lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:37 PM