AHMAD Zahid menandatangani plak perasmian Bangunan Tambahan IPK Johor Fasa 1 di Ibupejabat Polis Kontinjen Johor.
AHMAD Zahid menandatangani plak perasmian Bangunan Tambahan IPK Johor Fasa 1 di Ibupejabat Polis Kontinjen Johor.
Halim Said dan Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang berusia lebih 40 tahun di seluruh negara akan digantikan dengan bangunan baru dalam tempoh tiga tahun ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan ia tidak akan mengganggu operasi harian pelbagai unit dan jabatan yang ditempatkan di bangunan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peruntukan berhubung perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana pihaknya masih dalam proses mengenal pasti bangunan IPK terbabit.

Bagaimanapun, peruntukan itu akan datang dari kementeriannya dan dilaksanakan menerusi pelbagai kaedah termasuk pertukaran tanah untuk projek yang memerlukan ruang yang lebih besar.

“Saya menyedari bahawa ada bangunan ini yang berusia lebih 53 tahun, maka kaedah yang saya sebutkan akan dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Bangunan Tambahan IPK Johor (Fasa 1) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Projek bangunan tambahan yang membabitkan kos RM76.2 juta itu mula dibina pada Februari 2015 sebelum fasa pertamanya, siap semalam.

Fasa pertama itu terdiri daripada pembinaan lima blok bangunan pentadbiran yang mana bangunan utama menempatkan blok pejabat dan ruang pentadbiran 12 tingkat dengan empat tingkat tempat letak kereta.

Ahmad Zahid berkata, dengan bangunan baru itu, ia diharap dapat menaikkan semangat dan motivasi semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 4:47 AM