JUHAR menandatangani plak perasmian Kompleks IPK Sabah disaksikan Acyrl (depan, dua kanan), Hajiji (depan, kanan) dan Saifuddin (depan, kiri). FOTO Juwan Riduan
JUHAR menandatangani plak perasmian Kompleks IPK Sabah disaksikan Acyrl (depan, dua kanan), Hajiji (depan, kanan) dan Saifuddin (depan, kiri). FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal diwujudkan bagi memperkukuh lagi kawalan keselamatan di negeri ini, iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, penambahan itu menjadikan tujuh batalion PGA akan beroperasi di Sabah, termasuk lima sedia ada, iaitu Batalion 14 Tawau, Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut, Batalion 17 Lahad Datu dan Batalion 20 Beluran.

"Dalam usaha memperkukuh serta memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini giat membangunkan satu lagi pos baharu PGA iaitu Pos Pangalungan Nabawan.

"Saya yakin penambahan pos dan batalion ini dapat mempertingkatkan lagi mutu kawalan keselamatan terutama di kawasan sempadan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) seterusnya menghalang jenayah rentas sempadan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Acyrl berkata, pihaknya yakin Kontinjen Sabah mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.

"Pertingkatkanlah profesionalisme serta lipat gandakan usaha demi meletakkan PDRM di mercu kecemerlangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan bangunan IPK Sabah adalah sebahagian daripada pelan strategi keselamatan pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya rakyat di negeri ini.

"Projek pembangunan Pentadbiran Blok A dan Blok B IPK Sabah membabitkan kos sebanyak RM90.3 juta mula dibina pada 16 Julai 2007 dan siap sepenuhnya 16 Januari lalu.

"Kompleks yang akan beroperasi sepenuhnya 13 Julai ini, turut dilengkapi dengan lokap berpusat, bengkel komunikasi, balai pengawal, 17 unit kuarters kelas C dan 60 unit kuarters kelas D," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 3:50 PM