Norashikin (duduk tengah) bersama sebahagian artis yang terlibat dalam Program Temu Duga Terbuka SL1M yang berlangsung di Kedah pada 14 dan 15 April depan selepas sidang media di Philea Mines Resort City Seri Kembangan, semalam.
Norashikin (duduk tengah) bersama sebahagian artis yang terlibat dalam Program Temu Duga Terbuka SL1M yang berlangsung di Kedah pada 14 dan 15 April depan selepas sidang media di Philea Mines Resort City Seri Kembangan, semalam.
Hamizah Badiran


Seri Kembangan: Selain makan gaji, Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) membuka ruang kepada graduan dan pencari kerja memajukan diri dengan menyertai pelbagai peluang keusahawanan berasaskan pertanian.

Berikutan itu, Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara 2018 yang berlangsung dua hari bermula 14 hingga 15 April depan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, menyediakan banyak peluang untuk direbut mereka.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, Zon Utara adalah siri jelajah ketiga SL1M 2018 dan berharap orang ramai tidak melepaskan peluang merebut tawaran pekerjaan ditawarkan.

“Terdapat lebih 6,000 peluang pekerjaan dan latihan disediakan syarikat yang mengambil bahagian untuk pencari kerja pada sesi temu duga kali ini.

“Kami beri tempat kepada usahawan asas tani, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, ibu tunggal dan belia untuk memasarkan produk mereka di samping membantu graduan menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian,” katanya pada majlis perasmian pengumuman program itu di Philea Mines Beach Resorts di sini, semalam.

Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara 2018 kali ini dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Antara syarikat mengambil bahagian pada program ini ialah UMW Holdings Berhad, UEM Group Berhad, Coway (M) Berhad, Inokom Corporation Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan banyak lagi.

Norashikin berkata, bagi menaikkan semangat pengunjung, SL1M turut menampilkan selebriti tempatan seperti Duta SL1M, Faizal Tahir dan Kumpulan Zero selain Wings, Pesawat, Payslip, Kugiran Masdo, Monoloque, Floor 88, Drama Band, Khalifah Band serta CK Faizal yang akan memberi motivasi serta menghiburkan mereka.

Katanya, banyak aktiviti menarik disediakan termasuk ceramah kerjaya, klinik resume, hadiah cabutan bertuah, stunt show daripada FIM Asia Supermoto Champion, gerai jualan dan jualan asas tani.

“Bagi kemudahan orang ramai, SL1M turut bekerjasama dengan GrabCar untuk diskaun pengangkutan RM6 menggunakan kod SL1MKEDAH2018,” katanya.

Sementara itu, SL1M yang ditubuhkan pada Jun 2011, dikelolakan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dengan usaha sama pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta lain.

Sehingga Disember tahun lalu, 144,440 peserta sudah dibantu melalui pembabitan secara langsung mahupun tidak dengan program SL1M.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:38 AM