NORASHIKIN   (tengah) bergambar bersama duta dan sebahagian selebriti yang terbabit  di Mines Resort City, Seri Kembangan.
NORASHIKIN (tengah) bergambar bersama duta dan sebahagian selebriti yang terbabit di Mines Resort City, Seri Kembangan.
Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Graduan dan pencari kerja daripada pelbagai peringkat kelulusan berpeluang mencuba nasib apabila kira-kira 15,000 pekerjaan ditawarkan pada Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) 2018 yang berlangsung hari ini hingga esok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Tawaran itu membabitkan 200 syarikat antara lain membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan selaras dengan kelayakan yang dimiliki.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, SL1M 2018 bermula di Zon Tengah dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya berharap pencari kerja dan orang muda hadir merebut peluang pekerjaan yang disediakan.

“SL1M mengekalkan konsep yang sama iaitu menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat pendidikan dalam skala lebih besar pada program sulung tahun ini.

“Sesi temu duga akan dijalankan secara langsung atau terus oleh syarikat yang terbabit dan SL1M menjangka lebih 30,000 pengunjung hadir membanjiri MAEPS kali ini,” katanya.

Antara syarikat mengambil bahagian ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Maybank, UEM Group Berhad (Kumpulan UEM), Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) dan CIMB Bank Bhd (CIMB Bank).

Kata Norashikin, satu majlis bagi mengiktiraf semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang konsisten menjayakan SL1M sejak 2011 juga akan berlangsung pada majlis perasmian.

SL1M turut menyediakan ceramah kerjaya, klinik resume, kupon makan untuk pengunjung terawal, pameran dan jualan kenderaan serta pelbagai lagi.

Bagi menarik kehadiran pengunjung, program ini turut menampilkan selebriti tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada graduan serta pencari kerja.

Antara artis yang hadir ialah Faizal Tahir dan Kumpulan Zero selaku Duta SL1M, Wany Hasrita, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Hael Husaini, Tajul, Haqiem Rusli dan Kumpulan Bocey.

Sesi motivasi khas bersama usahawan orang kurang upaya (OKU), Sukur Rahim dan Imam Muda Asyraf turut diadakan.

Pengunjung yang membawa anak pula akan dihiburkan dengan maskot Didi & Friends serta Umar & Hana.

Sebagai kemudahan pengunjung, pengangkutan awam percuma disediakan Nadi Putra di KTM Serdang dan Putrajaya Sentral serta pemberian kupon diskaun untuk GrabCar.

Selain itu, pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah kereta Perodua Myvi 1.3 edisi terbaru, motosikal, telefon pintar, barangan elektrik dan banyak lagi.

Selepas MAEPS, SL1M akan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah pada 24 dan 25 Mac, diikuti Kedah (zon utara), Johor Bharu (zon selatan), Kelantan (zon pantai timur) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 3:10 AM