Noor Hidayah Tanzizi

Pantai Remis: Gagal 15 kali tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri menghasilkan minyak kelapa dara (VCO) yang berkualiti secara tradisional.

Othman Hashim, 58, dan Norfaridah Buyong, 54, mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu dan masih mengekalkan cara tradisional dengan kaedah pemeraman bagi mendapatkan hasil berkualiti tinggi.

Menurut Othman, biarpun pernah gagal sebelum ini dia tidak pernah menganggap ia sebagai penamat untuknya meneruskan usaha itu.

“Kerja apa sekali pun mempunyai cabaran dan risiko tersendiri. Saya pernah gagal 15 kali dengan kerugian lebih 300 biji kelapa digunakan.

“Namun, bagi saya ia bukan bermakna perlu berputus asa kerana saya sukakan kerja ini yang memberikan keseronokan apabila proses dijalankan berhasil,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Batu 13, Kampung Sungai Batu di sini, semalam.

Othman berkata, mereka turut dibantu anak keduanya, Muhamad Syafiq, 24, yang berminat mendalami penghasilan minyak kelapa dara yang mempunyai pelbagai khasiat.

Katanya, dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) banyak manfaat diperoleh bagi mengembangkan usahanya itu.

“Penghasilan sehari kami tidak banyak kerana mementingkan kualiti dan ia berisiko tinggi jika tidak menjadi.

“Empat hingga lima liter bagi sekali pemprosesan menggunakan 30 biji kelapa boleh dihasilkan dalam sehari,” katanya.

Othman berkata, proses menghasilkan minyak kelapa dara bermula dengan membuang sabut dan isi kelapa diparut serta diperah santannya sebelum diperap.

Katanya, proses penghasilan minyak itu yang dijenamakan sebagai Golwite Minyak Kelapa Dara paling lama mencecah 20 jam dan paling cepat hanya empat jam 30 minit.

“Saya mengalu-alukan jika ada mana-mana institut pengajian tinggi mahu datang membuat penyelidikan dan ada teknologi yang dapat mempercepatkan penghasilannya,” katanya.

Menurutnya, minyak kelapa dara adalah makanan tambahan yang mempunyai penawar semula jadi yang bagus untuk badan dengan pelbagai kebaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:11 AM