Ahmad Ismail

Segamat: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan membuatkan individu lebih kreatif dengan pelbagai idea penghasilan kegunaan isi rumah.

Situasi PKP itu turut mencetuskan idea buat guru mengaji yang juga balu, Rokiah Mohd Said, 77, untuk menghasilkan minyak masak daripada pati perahan santan kelapa tua.

Ibu kepada enam anak dan 10 cucu itu berkata, dia mewarisi ilmu itu daripada arwah ibunya, Sitam Md Yasin sejak tahun 1950an.

"Semasa PKP ingatan pembuatannya segar semula. Saya juga tidak mengajar mengaji di rumah penduduk, jadi idea memasak pati santan kelapa tua dipraktikkan semula.

"Alhamdulillah... saya tak sangka walaupun telah puluhan tahun tidak melakukannya proses penghasilan minyak masak itu berhasil," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 7, Jalan Segamat-Jementah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rokiah berkata, proses penghasilan minyak masak santan kelapa menggunakan resipi turun-temurun amat sinonim pada waktu zaman darurat dan perintah berkurung di Johor pada 1948 sehingga 1960.

Ketika itu penduduk tidak dibenarkan keluar kediaman kerana ancaman komunis) dan ibunya mengutip kelapa tua sekitar kediaman bagi penghasilan minyak kelapa kegunaan masakan, menghitamkan rambut dan kegunaan urutan selain pengisian waktu terluang.

Jelasnya, dia menggunakan kaedah tradisional iaitu merebus santan selama empat jam dalam kuali dan sebaiknya dikacau menggunakan senduk kayu.

"Api masakan harus kecil. Dahulunya penggunaan bahan kayu api bagi merebusnya manakala proses terakhir adalah menapis (mengasingkan) 'tahi minyak' (santan kental) bagi memperolehi minyak kelapa.

"Minyak kelapa akan terlihat muncul di permukaan kuali, sementara lapisan kental (tahi minyak) akan mendap di dasar kuali.

ROKIAH menunjukkan hasil proses minyak masak kelapa tua  dilakukannya. FOTO Ahmad Ismail
ROKIAH menunjukkan hasil proses minyak masak kelapa tua dilakukannya. FOTO Ahmad Ismail

"Proses penghasilannya tidaklah rumit namun memerlukan kesabaran kerana memakan sedikit masa.

"Rasa minyak masak santan kelapa itu amat unik dan aroma wangi terserlah untuk menggoreng ikan dan sayuran serta berwarna jernih inilah yang menjadi antara kelebihan kualiti penarik sehingga ia kekal dihati penggemarnya secara turun temurun," katanya.

Anak jati Segamat itu berkata, sebanyak dua biji parutan kelapa tua digunakan yang mampu menghasilkan kira-kira 100 mililiter minyak masak kelapa.

Rokiah berkata, selain itu 'tahi minyak boleh digunakan bagi rencah menggoreng sayuran dan antara bahan resepi nasi goreng selain sambal cili api.

"Kekurangan minyak masak di pasaran baru-baru ini, antara alternatif mendapatkan minyak masak secara mudah juga dengan kemudahan media sosial yang ada, niat saya mahu berkongsi ilmu itu kepada umum," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 10:41 AM