Muhaamad Hafis


ANGGOTA polis berpangkat sarjan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang rasuah RM13,000 untuk menyelesaikan kes dadah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar Nor Azah Idris ke atas suspek susulan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

Anggota polis berusia 28 tahun itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar ditahan 10.30 malam selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM13,000 bagi menyelesaikan kes dadah.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang direman enam hari bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah itu bagi menyelesaikan satu kes dadah yang disiasat olehnya.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:15 AM