Amirul Aiman Hamsuddin


JENAZAH empat sekeluarga yang maut di Kilometer (KM) 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, tengah hari tadi, selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Sungai Sireh, Tanjung Karang, 8.45 malam ini.

Terdahulu, pada 8.15 malam, Imam Masjid Jamek Al-Tuqa, Hamid Hamzah mengetuai solat jenazah terhadap kesemua mangsa di masjid berkenaan.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi tanah perkuburan itu sewaktu pengebumian yang dihadiri kira-kira 300 keluarga, saudara dan rakan keluarga itu.

Dalam kemalangan kira-kira 12 tengah hari tadi, tiga mangsa iaitu Munira Abd Rahim, 30, dan ibu bapanya Abd Rahim Abd Ghani, 61 dan Siti Fatimah Amat, 55, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Aniq Anaqi Mohamad Fazzli, yang berusia enam bulan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

Berita berkaitan:

Bayi lelaki antara empat maut

'Duniaku gelap sebentar'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:45 PM