ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, Sabak Bernam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, Sabak Bernam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin


EMPAT individu maut dalam kemalangan membabitkan lori dan kereta di Kilometer 43 Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, Sabak Bernam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pemandu Perodua Kancil Abd Rahim Abd Ghani, 61, dan penumpang Siti Fatimah Amat, 55, serta Munira Abd Rahim, 30, maut di lokasi dalam kejadian pada 12 tengah hari itu.

Katanya, seorang lagi mangsa Aniq Anaqi Mohamad Fazzli, enam bulan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam.

"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil terbabit terbabas ke laluan lori sebelum merempuh bahagian hadapan kenderaan berat itu, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

"Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala bayi terbabit meninggal dunia di hospital" katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati salah seorang penumpang hadapan Perodua Kancil itu tersepit.

"Anggota kami kemudian menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan kesemua mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 4:23 PM