Goh Pei Pei


SEBANYAK 31 syarikat penghantaran di seluruh negara termasuk tujuh syarikat di Sarawak digantung perkhidmatan kerana bersubahat menyeludup barang terlarang sehingga April lalu.

Keputusan dilakukan kerana kesalahan penyeludupan barang seperti barang memerlukan permit, barang haram atau mempunyai tarif cukai tinggi, sekali gus menjamin negara tidak kehilangan pendapatan selain memastikan keselamatan negara berada pada tahap tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, tindakan penggantungan dilaksanakan demi menjamin syarikat penghantaran bertanggungjawab dengan menyelidik latar belakang pelanggan dan barang muatan bagi setiap perkhidmatan.

SUBROMANIAM (kanan) pada sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia ke-83 di Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
SUBROMANIAM (kanan) pada sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia ke-83 di Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari

“Kamu (syarikat penghantaran) wajib mengetahui siapa pelanggan yang berurusan dan apa jenis barang yang ingin dihantar keluar. Jangan maklumkan kepada kami (kastam) yang kamu hanya isytihar barang dalam borang pengisytiharaan berdasarkan apa diberitahu pelanggan semata-mata.

“Jadilah bertanggungjawab dan mengambil sikap memperincikan semua maklumat, atau berdepan tindakan penguat kuasaan. Kami tidak akan berkompromi lagi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah Kastam ke-83 di Kuching, hari ini.

Subromaniam berkata, kerap berlaku pihak kastam gagal melaksanakan siasatan lanjut terutama membabitkan kegiatan penyeludupan barang berikutan maklumat tertera dalam dokumen adalah palsu.

“Ada juga kes di mana syarikat menggunakan perkhidmatan penghantaran tidak pernah wujud, sekali gus tindakan penguat kuasaan tidak dapat dilakukan... selepas ini kita tidak lagi bagi muka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 12:34 PM