Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman (kiri) kepada Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris. FOTO Zaman Huri Isa.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman (kiri) kepada Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris. FOTO Zaman Huri Isa.
Rosliza Mohamed


PEGAWAI kanan atau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan yang sudah bersara boleh menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, menerusi maklumat disalurkan, ia akan memudahkan pihaknya mengambil tindakan segera.

“Jadi kita harap pegawai atau anggota polis di negeri ini yang sudah bersara boleh terus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing.

“Ini kerana mereka berpengalaman dan sudah tentu mengetahui apa bentuk tindakan yang perlu diambil, selain menjadi sebagai mata dan telinga,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan yang baru, Pemangku Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman yang bersara wajib 29 Januari ini.

Hasanuddin berkata, pada masa sama, mereka boleh menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah kerajaan demi menjaga keamanan bangsa dan negara.

Katanya, tidak dinafikan perkhidmatan mereka sebelum ini dengan PDRM banyak membantu dalam pelbagai aspek termasuk pencegahan jenayah.

“Walaupun perkhidmatan mereka sudah tamat tetapi usaha untuk membantu PDRM masih ada,” katanya.

Menurutnya, indeks jenayah juga dilaporkan menurun 0.28 peratus tahun lalu dan pada masa sama, pelbagai langkah diambil bagi mengurangkan kejadian jenayah.

Katanya, kebanyakan kes jenayah yang sering dilaporkan ialah kekerasan dan pecah rumah berpunca daripada individu yang ingin membeli dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:48 PM