Rantau Panjang: Panas melampau yang menghampiri kemarau sejak awal bulan menyebabkan paras air Sungai Golok di beberapa kawasan, di sini semakin kering.

Paling ketara di kawasan Kampung Bering, hingga membolehkan penduduk menyeberangi sungai itu dengan hanya berjalan.

Paras air sungai di situ yang kebiasaannya melebihi dua meter kini difahamkan menyusut kepada kurang satu meter.

Jika sebelum ini, penduduk berdekatan sungai itu perlu menggunakan bot untuk keluar dan masuk dari kampung mereka ke Golok, keadaan berubah sejak seminggu lalu.

Penduduk, Nik Rodi Nik Din, 38, berkata, mereka hanya berjalan untuk menyeberangi sungai seluas kira-kira 100 meter membeli barang di kawasan Golok.

“Tidak risau mana apabila air sungai menjadi cetek dan memudahkan masyarakat menjalankan aktiviti harian terutama membeli barang di Golok.

“Saudara yang tinggal di seberang juga mudah melawat ke sini. Jika kemarau berterusan, ada kemungkinan sungai ini kering terus,” katanya di sini, semalam.

Peniaga tempatan, Rohani Isa, 40, berkata, keadaan itu bukan sesuatu yang pelik kerana berlaku hampir setiap tahun ketika musim kemarau.

Katanya, penduduk di kampung itu sudah biasa dan sentiasa menunggu saat itu kerana mereka boleh menyeberangi sungai pada bila-bila masa tanpa menggunakan bot tambang.

“Jika naik bot tambang, kami perlu membayar RM1 bagi satu laluan dan sebagai peniaga saya kerap ke Golok untuk membeli barang.

“Keadaan ini rezeki kepada saya kerana boleh menjimatkan wang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:22 AM