MANGSA ditemui nelayan tempatan sebelum dibawa ke Kampung Babago. FOTO ihsan APM
MANGSA ditemui nelayan tempatan sebelum dibawa ke Kampung Babago. FOTO ihsan APM
Hazsyah Abdul Rahman


MISTERI kehilangan nelayan dari Pulau Jambongan terjawab apabila mangsa ditemui dalam keadaan keletihan di pesisir pantai Kampung Obah, Paitan, dekat Beluran, hari ini.

Mangsa Mustapa Opong, 45, ditemui pada 8.15 pagi tadi dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, mangsa ditemui nelayan tempatan sebelum dibawa ke Kampung Babago, Pulau Jambongan kira-kira 6.6 batu nautika dari lokasi kehilangannya.

“Mustapa ditemui dalam keadaan keletihan namun tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa dibawa ke Kampung Babago, Pulau Jambongan oleh bot nelayan dan diiringi Bot Maritim Banggi 43.

"Berikutan penemuan ini, Operasi Mencari dan Menyelamat ditamatkan pada 9.15 pagi hari ini selepas misi pencarian memasuki hari kedua,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, sektor pencarian yang dijalankan sebelum ini meliputi kawasan seluas 275 batu nautika persegi membabitkan perairan Pulau Jambongan hingga ke perairan Beluran.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Jambongan, dekat Beluran.

Operasi pencarian mangsa membabitkan aset KM Tebrau dan Bot Banggi 43 milik APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 20 bot nelayan Pulau Jambongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:10 PM