Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang memohon ibu bapa atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan sejak dilahirkan 8 September lalu supaya tampil menuntutnya.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Zaidi Zakaria berkata, bayi berkenaan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum ditinggalkan ibunya.

“Berdasarkan maklumat, selepas bayi dilahirkan, ibu kepada bayi berkenaan bertindak melarikan diri dan tidak menjenguk bayinya di sini,” katanya.

Zaidi berkata, bayi itu kini sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil.

“Bayi ini tiada sijil lahir dan dokumen berkaitan malah kita juga dapati ibu kepada bayi ini adalah seorang warganegara Indonesia.

“Kes bayi ini juga sudah dibawa ke Mahkamah bagi Kanak-Kanak di Klang pada 23 November lalu untuk Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tambahnya lagi, jika bayi ini tidak dituntut, dia akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu keluarga angkat yang berdaftar dengan JKM.

“Kami mohon supaya ibu bapa atau waris yang mengenali bayi perempuan ini untuk tampil menuntut atau menghubunginya talian 03-33413703 atau 03-33413913 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:38 AM